Hukum Memelihara Haiwan Peliharaan
Memerhatikan trend terkini, masyarakat kita sedang mengembangkan
perhatian kepada haiwan peliharaan. Jika sebelumnya, orang islam hanya
memelihara kucing dan ikan, pada masa ini kita melihat anak-anak muda
yang suka memelihara haiwan-haiwan eksotik seperti sugar glider,
hamster, iguana dan ginea pig. Bahkan ada juga yang cuba-cuba memelihara
haiwan berbahaya seperti ular dan labah-labah.
Sebagai muslim, kita mesti merujuk kepada islam dalam setiap perilaku
kita. Maka dalam soal pemeliharaan haiwan juga tidak terkecuali. Cinta
kepada haiwan mesti terikat dengan hukum islam. Ia tidak boleh dikaitkan
dengan perasaan hati yang sangat subjektif. Sikap sebegini boleh boleh
membuka ruang untuk menentang hukum-hukum Allah sama ada secara sengaja
atau tidak.
Hukum Pelihara Haiwan
Saya sangat suka kepada haiwan. Bolehkah ustaz sebutkan prinsip-prinsip umum dalam memelihara haiwan yang boleh dijadikan peliharaan dan ayng tidak boleh?
Jawapan: Asal hukum memelihara haiwan terdapat dalam hadis Rasulullah s.a.w tentang kucing. Sabda Baginda yang bermaksud:
“Sesungguhnya ia bukan najis. Ia hanyalah termasuk daripada haiwan-haiwan yang suka berkeliaran bersamamu” (Riwayat Abu Dawud)
Daripada hadis ini kita boleh merumuskan bahawa sifat utama haiwan
belaan mestilah suci dan tidak membahayakan. Selain itu juga mestilah
bermanfaat secara syarak. Rasulullah sendiri sangat mencitai kuda sebab
ia hawian yang boleh digunakan untuk berjihad. Begitu juga unta dan
keldai, sebab kedua-duanya boleh menjadi kenderaan.
Adapun haiwan yang najis dan berbahaya, begitu juga haiwan-haiwan yang
diperintahkan untuk dibunuh, maka ia tidak boleh dibela walau secomel
manapun rupanya. Sebab membela haiwan-haiwan ini dikira melanggar
perintah islam.
Hukum Haiwan Dalam Islam
Haiwan yang Suci, semua haiwan yang dihukumkan suci semasa hidupnya kecuali haiwan-haiwan tertentu yang telah ditetapkan najis.
Haiwan Yang najis seperti Babi, Anjing atau haiwan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satu daripadanya.
Haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh seperti ular, gagak, tikus, anjing gila, burung hering dan cicak.
Perasaan Haiwan
Dalam islam, adakah haiwan memeliki perasaan?
Jawapan : Ya.
Islam mengiktiraf perasaan yang dimiliki haiwan. Jiwa mereka memang
lebih rendah daripada manusia, namun mereka mempunyai perasaan. Mereka
merasakan sakit, lapar, takut, suka dan lain-lain.
Oleh sebab itu, islam mewajibkan berlaku ihsan kepada haiwan dan tidak memperlakukannya dengan kejam.
“Ya’la bin Murrah menceritakan kisah seekor unta yang datang kepada Nabi
dengan berlinangan air mata. Rasulullah bertanya: “Dimana pemilik unta
ini? ia mengadu kepadaku banyaknya kerja dan sedikitnya makanan yang
diberikan kepadanya. Berbuat baiklah kepadanya”. (Riwayat Ahmad)
Perhatikan pula arahan para ulama berkenaan dengan berbuat ihsan kepada haiwan :
- Jangan menyembelih haiwan di hadapan haiwan yang lain
- Jangan mengasah pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih
- Jika seekor kucing atau anjing sedang memakan sesuatu, maka tidak boleh merebut makanan itu daripadanya melainkan makanan itu milik seseorang
Semua ini dapat kita temukan dalam kitab-kitab fuqaha.
Belanja Untuk Haiwan Peliharaan
Saya berhasrat untuk membela seekor kucing parsi. Namun menurut teman saya, kos penjagaan bulanannya sekitar RM200. Itu pun tidak cukup sebenarnya. Sekali fikir macam tidak patut pula. Apa nasihat ustaz?
Jawapan: Berbuat
ihsan kepada haiwan peliharaan satu tindakan terpuji. Hukum ini berubah
menjadi wajib apabila haiwan tersebut dikurung sehingga tidak dapat
mencari maknan sendiri. Pada saat itu, pemiliknya mesti menyediakan
semua keperluannya seperti makanan, minuman dan lain-lain.
Berkata Ibn al-Haitami dalam Fatawa: “Disunatkan untuk bermurah hati
kepadanya (kucing) Dan wajib atas pemiliknya memberi makan kepadanya
jika ia tidak dapat mencari sendiri makanannya.”
Namun begitu, hendaklah perbelanjaan untuk haiwan ini dalam had yang
berpada. Jangan terlalu berlebih dengan mencari makanan yang mahal,
membuatkan sangkar yang mewah dan sebagainya. Perbuatan berlebihan
seperti ini dikhuatiri termasuk dalam pembaziran yang terlarang. Apalagi
jika dalam masa yang sama ada anggota keluarga atau jiran tetangga yang
lebih memerlukan bantuan kita.
Berbuat ihsan dan bersedekah kepada haiwan memang terpuji. Namun berbuat
ihsan dan bersedekah kepada manusia yang lebih memerlukan adalah lebih
terpuji.
Wallahu a’lam




No comments:
Post a Comment